Profil Desa

 

blok h33

 

Latar belakang Desasiswa Cahaya Gemilang

Desasiswa Cahaya Gemilang terletak di dalam Kampus Induk Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Nama Desasiswa Cahaya Gemilang adalah hasil daripada gabungan nama Desasiswa Cahaya dan Desasiswa Gemilang. Lokasi Desasiswa Cahaya Gemilang ialah berhampiran dengan Pusat Kesihatan USM dan Pusat Pengajian Sains Fizik. Selain itu, Desasiswa Cahaya Gemilang juga berjiran dengan Pusat Jagaan Kanak-Kanak [Hadhanah], Unit Kediaman Keluarga Ijazah Pertama serta desasiswa Bakti Permai.

 

blok h20

 

Sejarah Awal Desasiswa Cahaya

 Desasiswa Cahaya adalah di antara desasiswa yang terawal pembinaannya di dalam Kampus USM. Desasiswa Cahaya terdiri daripada bangunan H20, H21, H22, H23, H24, dan H25. Bangunan asrama H20, H23, dan H24 adalah tinggalan sejarah Pemerintah British di Tanah Melayu yang dibina pada tahun 1938.

Bangunan yang menempatkan kem askar British ini kemudian dibaikpulih untuk dijadikan asrama pelajar apabila Pengurusan USM berpindah daripada Maktab Perguruan Pulau Pinang yang pada masa berkenaan dikenali sebagai Maktab Universiti. Asrama pelajar ini diuruskan oleh Jabatan Canselori sehingga tahun 1975 apabila diwujudkan jawatan Penggawa Desasiswa yang disandang oleh Mr. Edward Lim Huck Tee.

Pada asalnya bangunan asrama di USM dikenali dengan mengggunakan huruf iaitu Desa A, Desa B dan Desa C. hanya sekitar tahun 80’an dengan wujudnya desasiswa yang baru, maka nama telah diberi berdasarkan huruf-huruf tersebut seperti A-Aman, B-Bakti, C-Cahaya, D-Damai, F-Fajar, G-Gemilang, H-Harapan dan sebagainya.

Bilik-bilik pelajar Desasiswa Cahaya pada awalnya dihuni oleh 4 orang sebilik dengan katil jenis bertingkat. Kapasiti maksimum pelajar pada masa tersebut adalah seramai lebih kurang 924 orang pelajar.

Blok H29 yang merupakan bangunan pentadbiran / kafeteria Desasiswa Cahaya telah diroboh pada tahun 2006, bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan Pusat Kesihatan USM yang baru.

 

picture 016

 

Sejarah Awal Desasiswa Gemilang

Sementara itu, desasiswa Gemilang mula beroperasi pada bulan Oktober 1983 dan dirasmikan pembukaannya oleh Naib Canselor USM ketika itu, iaitu Datuk Musa Bin Mohamad pada 8 Mac 1984.

Desasiswa Gemilang terdiri daripada 2 buah bangunan asrama iaitu H34 dan H35 serta  sebuah bangunan pentadbiran / kafeteria iaitu H33. Jumlah pelajar yang menginap di desasiswa Gemilang adalah seramai 961 orang dengan penginapan jenis 3 orang sebilik.

En. Zainol Bin Che Mamat  dilantik sebagai Penggawa pertama bagi Desasiswa Gemilang.

Sejak awal kewujudan sehingga penghujung tahun 90’an Desasiswa Cahaya Gemilang dihuni oleh pelajar-pelajar Program Matrikulasi. Bermula tahun 2000 selepas penubuhan beberapa Kolej Matrikulasi, Desasiswa Cahaya Gemilang telah mengambil pelajar Ijazah Pertama.

Pada tahun-tahun 80’an sehingga 1997 desasiswa yang beroperasi di USM adalah Desasiswa Aman, Bakti, Cahaya, Damai, Fajar,  Gemilang, Harapan, Permai, Indah dan Kembara.

 

logo jpeg

 

Sejarah Desasiswa Cahaya Gemilang

Pada tahun 1998 Unit Perumahan dan Penginapan Universiti [UPPU] telah ditubuhkan dan  penggabungan desasiswa telah dilakukan dengan menyaksikan Desasiswa Cahaya digabungkan dengan Desasiswa Permai manakala Desasiswa Gemilang ditadbir sendiri. Namun apabila penggabungan Desasiswa disusun semula pada tahun 2004, Desasiswa Gemilang digabungkan dengan Desasiswa Cahaya kerana kedudukannya barhampiran manakala desasiswa Permai digabungkan dengan desasiswa Bakti. Pengurusan Desasiswa Gemilang bertanggung jawab terhadap Desasiswa Cahaya Gemilang sementara pengurusan Desasiswa Cahaya berpindah ke Desasiswa Restu.

Pada tahun itu juga menyaksikan pembukaan 3 buah desasiswa baru iaitu Desasiswa Restu, Desasiswa Saujana dan Desasiswa Tekun. Pertambahan tempat penginapan di tiga buah desasiswa tersebut telah mengubah dasar penempatan dan penginapan,  iaitu dengan menjadikan setiap bilik hanya dikongsi oleh 2 orang pelajar berbanding 3 orang atau 4 orang pelajar sebilik sebelumnya.

Kini Desasiswa Cahaya Gemilang mempunyai 8 blok bangunan asrama dan 1 blok Pengurusan/Kafeteria di bawah pentadbiran seorang Penggawa. Kapasiti pelajar yang mendiami desasiswa Cahaya Gemilang adalah seramai 1,119 orang pelajar.

Pada tahun 2005 bangunan H34 dan H35 telah mengalami proses naiktaraf bagi memberi keselesaan kepada pelajar. Kadar caj yang dikenakan adalah sama seperti yang dikenakan di Desasiswa Restu Saujana dan Tekun iaitu RM 4.00 sehari/seorang bagi bilik berdua.

Walau bagaimanapun menjelang sidang akademik 2008/2009 bangunan H21 dan H22 tidak akan dihuni oleh pelajar memandangkan ianya akan dinaiktaraf sebagai Pusat Sehenti Pelajar, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar [BHEPP].

Status pengambil-alihan terkini yang diketahui menyatakan kerja menaik taraf melibatkan keseluruhan blok-blok Cahaya untuk dijadikan Kompleks Cahaya BHEPP. Ini bermakna Desasiswa Gemilang akan beroperasi dengan kapasiti 2 buah blok penginapan sepertimana pada awal kewujudannya.